1.0 PENGENALAN KEPADA UNDANG-UNDANG
Undang-undang bermaksud satu set peraturan universal yang konsisten, diterbitkan dengan meluas, umumnya diterima dan kebiasaannya dikuatkuasakan. Secara ringkasnya, undang-undang adalah set peraturan yang ditubuhkan oleh masyarakat untuk mengawal kelakuan dalam masyarakat tersebut. Berdasarkan definisi umum ini, ia boleh digunakan sebagai asas apabila menghadapi konflik dalam organisasi iaitu ketika memilih antara prestasi ekonomi dengan prestasi sosial. Tanpa undang-undang manusia bebas untuk memilih sama ada untuk menjadi manusia yang beretika atau sebaliknya. Oleh itu, undang-undang digubal adalah untuk dijadikan sebagai panduan kepada manusia untuk hidup lebih bermoral dan beretika. Justeru, tujuan tugasan ini adalah untuk menerangkan hubungan antara undang-undang dengan standard moral dan menilai proses-proses pembentukkan undang-undang.
1.1
CIRI-CIRI UNDANG-UNDANG
Undang-undang mengkehendaki setiap individu berkelakuan mengikut norma dalam perhubungan mereka dengan orang lain dalam sesebuah masyarakat. Setiap individu dikehendaki bertindak dengan cara tertentu seperti mematuhi peraturan undang-undang serta norma kehidupan yang betul dalam pergaulan seharian dan bukan sekadar menjangka, mencadangkan atau diarahkan untuk bertindak sebegitu. Dalam undang-undang, terdapat elemen mendesak yang memberi maksud apa yang harus setiap individu perlu lakukan dimana setiap individu harus mematuhi peraturan dan tidak melanggar undang-undang sedia ada. Undang-undang terbentuk daripada lima ciri iaitu Konsisten, Universal, Diterbitkan, Diterima dan Dikuatkuasakan.
Ciri pertama adalah Konsisten iaitu keperluan untuk bertindak atau tidak bertindak mestilah konsisten atau sejajar dan tidak bertentangan atau berubah antara satu dengan lain untuk menjadi sebuah undang-undang. Sebagai contoh, jika terdapat dua keperluan dalam undang-undang yang bercanggah antara satu sama lain, maka kedua-dua keperluan tersebut tidak boleh ditakrifkan sebagai undang-undang kerana seseorang individu pasti tidak dapat mematuhi kedua-duanya sekali. Kedua, Universal pula adalah keperluan untuk bertindak atau tidak bertindak mestilah bersifat universal iaitu bersifat terbuka dan dapat digunakan oleh semua orang yang memiliki sifat yang sama serta menghadapi set keadaan yang sama. Ketiga, Diterbitkan iaitu keperluan untuk bertindak atau tidak bertindak mestilah diterbitkan dan dicetak supaya setiap individu dalam masyarakat dapat mengaksesnya walaupun tidak semua orang mempunyai masa untuk membaca atau memahami segala yang diterbitkan. Walau bagaimanapun, undang-undang yang diterbitkan boleh dirujuk melalui ahli profesional terlatih seperti peguam untuk menterjemah dan menerangkan mengenai mana-mana undang-undang. Oleh itu, alasan tidak mengetahui atau tidak memahami terhadap sesuatu undang-undang itu adalah bukan satu alasan yang boleh diterima pakai. Keempat, Diterima adalah keperluan untuk bertindak atau tidak bertindak dengan cara yang ditetapkan mestilah dipatuhi dan jika ada segelintir individu dalam masyarakat yang tidak mengikuti undang-undang secara sukarela maka mereka akan dipaksa supaya mengikutinya.
Kelima, Dikuatkuasakan adalah keperluan untuk bertindak atau tidak bertindak dengan cara tertentu perlulah dikuatkuasakan. Setiap masyarakat perlu memahami bahawa mereka akan dipaksa mematuhi undang-undang jika mereka enggan mematuhi secara sukarela. Setiap orang perlu sedar bahawa sekiranya mereka melanggar undang-undang, mereka akan kehilangan kemudahan, masa, wang, kebebasan atau nyawa apabila ketidakpatuhan mereka diketahui dan dibuktikan. Terdapat elemen yang mendesak pada undang-undang. Ia juga mempunyai elemen yang menentukan kerana ia menetapkan apa yang akan berlaku jika kita tidak mematuhi peraturan. Sebagai contoh, syarikat perkilangan adalah diwajibkan melupuskan bahan sisa buangan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Kementerian Alam Sekitar. Sekiranya ada syarikat perkilangan yang melanggar peraturan dengan membuang sisa buangan ke dalam sungai maka, pihak kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati syarikat tersebut terbukti melanggar undang-undang dengan mengenakan saman atau mungkin diarahkan untuk memberhentikan operasi.
Kesemua set peraturan yang dinyatakan di atas, disokong oleh rangka kerja institusi-institusi sosial yang sangat khusus seperti Badan perundangan dan majlis yang bertanggungjawab membentuk undang-undang, Peguam dan pembantu guaman yang bertanggungjawab menerangkan undang-undang, Mahkamah dan agensi yang bertanggungjawab mentafsirkan undang-undang dan Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang yang telah dibentuk.
2.0 HUBUNGAN ANTARA UNDANG-UNDANG DENGAN STANDARD MORAL
Seperti yang yang diketahui, undang-undang adalah satu set peraturan ideal yang universal dan konsisten bagi mengawal kelakuan manusia dalam masyarakat. adakah semua orang boleh menerima peraturan ini sebagai mewakili keputusan moral kolektif anggota masyarakat atau tidak. Sekiranya boleh, kita mempunyai satu piawaian sebagai panduan kepada keputusan dan tindakan pengurusan walaupun piawaian ini berada pada tahap yang minimum. Sebaliknya jika tidak boleh, kita perlulah mencari kaedah lain untuk mendapatkan piawaian yang diperlukan.
2.1 Keperluan undang-undang bertindih dengan keperluan moral
Dalam proses mempertimbangkan kemungkinan dalam hubung kait antara keputusan moral dengan kehendak undang-undang, kita boleh mencapai beberapa kesimpulan daripadanya. Salah satu daripada kesimpulan ini adalah sebahagian besar keperluan undang-undang adalah bertindih dengan standard moral masyarakat. Namun, ia tidak menduplikasi sepenuhnya piawaian moral yang mungkin wujud dalam masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang melanggar undang-undang negara dengan melakukan pengedaran dadah di kawasan tertentu juga melanggar piawaian moral yang melarang perbuatan penyalahgunaan dadah berleluasa di kawasan tersebut kerana masyarakat tidak mahu penyalahgunaan dadah akan menyebabkan anak-anak remaja di kawasan terbabit terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Jadi, keperluan moral dan kehendak undang-undang bertindih pada ketika itu. Adalah mudah untuk menyatakan bahawa undang-undang berkaitan kes jenayah seperti merompak, penyalahgunaan dadah, penipuan kualiti sesuatu produk dan ketidakpatuhan sesebuah kontrak itu sama dengan kepercayaan moral yang mugkin dipatuhi oleh kebanyakkan orang dalam kehidupan bermasyarakat. Kita boleh bersetuju bahawa dalam sesebuah masyarakat yang berdemokrasi, keperluan undang-undang mencerminkan nilai-nilai moral yang dipegang oleh masyarakat dan sememangnya terdapat pertindihan antara kehendak undang-undang dengan standard moral.
Kawasan pertindihan antara undang-undang dengan standard
moral digambarkan seperti rajah diatas. Walau bagaimanapun, kawasan yang bertindih
adalah tidak penuh di mana terdapat sesetengah undang-undang yang tidak
berkaitan dengan moral iaitu tanpa sebarang nilai moral. Contoh, keperluan
memandu di sebelah kiri jalan raya tidak semestinya betul atau pun salah, yang
penting adalah ia mendapat persetujuan semua untuk memandu pada sebelah jalan
yang mana seperti contoh negara Amerika Syarikat memandu disebelah kanan jalan
manakala negara Malaysia memandu disebelah kiri jalan dan ia tiada pertindihan
moral kerana ia telah dipersetujui oleh semua masyarakat untuk memilih
pemanduan di sebelah mana. Keadaan pertindihan yang terakhir menunjukkan
terdapat piawaian moral yang tidak mempunyai sebarang ketetpan undang-undang. Sebagai contoh, kita membantah
perbuatan berbohong kerana ia bertentangan dengan piawaian moral dalam
bermasyarakat. Walau bagaimanapun, bercakap benar tidak dikehendaki oleh
undang-undang melainkan setelah mengangkat sumpah di mahkamah dan dalam
beberapa keadaan lain seperti menandatangani perjanjian kontrak pekerjaan
ataupun penjualan harta.
2.2 Keperluan
undang-undang ke arah negatif manakala keperluan moral ke arah positif.
Keperluan undang-undang lebih cenderung ke arah negatif,
manakala piawaian moral kebiasaanya lebih ke arah positif. Mengikut
undang-undang, kita dilarang sama sekali menyerang, merompak atau memfitnah
antara satu sama lain. Jika kita melanggar undang-undang maka kita akan
dikenakan tindakan. Namun, kita tidak akan dikenakan tindakan undang-undang
sekiranya kita tidak membantu orang lain walaupun dalam keadaan terdesak. Sebagai contoh, undang-undang tidak
menegaskan bahawa kita wajib membantu seseorang yang kemalangan tetapi kita
boleh membantu secara sukarela. Dalam situasi ini, dapat disimpulkan bahawa
dalam piawaian moral, majoriti masyarakat memiliki naluri kemanusiaan pasti
akan memberi bantuan kepada mangsa kemalangan secara sukarela setakat mana yang
mereka terdaya.
2.3 Keperluan undang-undang sedikit ketinggalan berbanding keperluan moral.
Keperluan undang-undang didapati sedikit ketinggalan ke belakang berbanding piawaian moral masyarakat. Contohnya, masalah hamba abdi merupakan satu contoh yang paling tidak menyenangkan. Memetik sumber Wikipedia (2022), Kevin Bales dari kumpulan Free the Slaves (FTS) menyatakan terdapat 27 juta manusia yang boleh dianggap sebagai hamba pada hari ini di seluruh dunia dijual serendah AS$40 di Mali untuk menjadi buruh. Namun diskriminasi ke atas jantina, bangsa, pencemaran alam sekitar dan rasuah semuanya menunjukkan masalah moral yang boleh diatasi oleh undang-undang. Para penyokong kedaulatan undang-undang mengatakan bahawa kelengahan yang terdapat antara kesepakatan masalah moral dengan penggubalan undang-undang yang melarang tidak semestinya menandakan kurangnya hubungan antara kedua-duanya. Sebaliknya mereka mengatakan bahawa ia mengesahkan adanya hubungan tersebut apabila undang-undang mengawal diskriminasi, pencemaran dan rasuah akhirnya diluluskan.
3.0 PROSES-PROSES PEMBENTUKAN UNDANG-UNDANG
3.1 PROSES INDIVIDU
Undang-undang merupakan suatu etiti yang jelas sifat dinamiknya kerana peraturan yang termaktub di dalamnya berubah-ubah mengikut peredaran masa. Seperti yang telah dijelaskan dalam hubungan undang-undang dengan standard moral, terdapat kelengahan masa antara perubahan piawaian moral dengan keperluan undang-undang. Dengan itu, tindakan yang dianggap tidak melanggar undang-undang 20 tahun yang lalu seperti diskriminasi bangsa dan jantina dalam pengambilan pekerja baru atau pembuangan sisa kimia ke dalam sungai, kini merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang. Sebagai contoh, jika dahulu masyarakat mengamalkan cara hidup bertani dan membuat pembakaran hutan secara terbuka untuk membina kawasan pertanian tetapi pada masa kini pembakaran secara terbuka walaupun untuk pertanian akan dikenakan tindakan undang-undang kerana menyebabkan pencemaran udara.
Setiap individu memiliki norma, kepercayaan dan nilai masing-masing yang membentuk piawaian moral. Norma adalah kelakuan setiap individu dalam masyarakat dan merupakan cara seseorang itu bertindak apabila berada dalam situasi tertentu dan bersedia menghadapi situasi tersebut. Sebagai contoh, jika kita melihat ada orang lemas di sungai, ada individu yang bertindak terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa dan ada juga yang hanya memerhatikan sahaja keadaan tersebut. Itu adalah cara kelakuan seseorang individu sama ada bertindak memberikan pertolongan atau kelakuan bertindak sebagai pemerhati sahaja.
Seterusnya kepercayaan iaitu
kriteria pemikiran. Kepercayaan berbeza daripada norma kerana ia tidak
melibatkan tindakan terhadap orang lain. Kepercayaan adalah satu cara pemikiran
abstrak yang kebiasaannya menyokong norma individu dan merupakan cara individu
menjangka orang lain akan berfikir tentang konsep-konsep tertentu. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu
percaya kepada konsep demokrasi dalam negara ini, maka dia akan menjangka individu
lain turut akan mempercayai nilai konsep demokrasi tersebut dan menerimanya
sebagai suatu bentuk kerajaan yang memperjuangkan hak-hak rakyat secara
demokrasi.
Selanjutnya adalah nilai iaitu
satu peringkat keutamaan yang diberikan oleh seseorang terhadap norma dan
kepercayaannya. Kebanyakan orang tidak menganggap kesemua norma dan kepercayaan
mereka sebagai sama penting. Sesetengah orang percaya bahawa norma dan
kepercayaanya adalah lebih penting daripada orang lain. Norma dan kepercayaan
yang penting merupakan nilai-nilai atau sanjungan tinggi yang diletakkan
seseorang pada sesuatu perkara. Sebagai
contoh, dalam negara yang memiliki masyarakat majmuk dengan pelbagai
tradisi budaya, tidak terdapat satu pun agama warisan yang diterima atau
disokong sepenuhnya. Kesannya, masyarakat dalam negara tersebut menjalani
kehidupan dengan norma, kepercayaan dan nilai yang berbeza-beza antara
individu. Perbezaan ini akan membawa kepada pelbagai konflik.
3.2 PROSES KUMPULAN
Proses kumpulan bermaksud latar belakang umum atau persekitaran sekeliling sesuatu keadaan. Ia memainkan peranan yang signifikan dalam norma, kepercayaan dan nilai seseorang individu. Setiap individu membentuk set norma, kepercayaan dan nilainya sendiri melalui budaya atau agama, sosial atau politik dan ekonomi atau teknologi. Bagi masyarakat pula, enam faktor yang berkait rapat adalah ajaran agama, tradisi budaya, keadaan ekonomi, pembangunan teknologi, organisasi sosial dan proses-proses politik. Sebagai contoh, seandainya empat faktor perubahan dalam teknologi, politik, ekonomi dan budaya dikaitkan maka dapat dihuraikan bahawa perubahan teknologi pada masa kini telah membawa perubahan dalam perubahan politik. Perubahan politik pula hasil daripada perubahan teknologi komunikasi yang semakin maju seperti perubahan kepada kewujudan media sosial yang mempengaruhi corak politik pada masa kini. Perubahan politik akan menyebabkan perubahan ekonomi ke atas corak perbelanjaan dan percukaian berlaku dimana penggunaan kaedah percukaian baru contohnya GST (Government Service Tax) bagi menggantikan keadah cukai yang lama. Akhirnya, perubahan-perubahan ini akan menyebabkan perubahan budaya dalam kehidupan masyarakat dari segi gaya hidup. Peningkatan kos sara hidup yang tinggi merubah budaya masyarakat untuk berjimat cermat dan berhemah semasa berbelanja.
3.3 PROSES SOSIAL
Proses sosial adalah individu yang berpegang kepada norma, kepercayaan dan nilai yang sama kebiasaannya cenderung untuk berkumpul dalam kumpulan-kumpulan kecil. Hal ini sudah menjadi kelaziman bagi seseorang itu berkongsi norma, kepercayaan dan nilai untuk mengutarakan pandangan serta pendapat yang sama. Kumpulan-kumpulan kecil ini merupakan sebahagian daripada organisasi yang lebih besar seperti firma perniagaan, kesatuan sekerja, parti politik, badan amal, institusi agama dan persatuan veteran. Sebagai contoh, seseorang menyertai persatuan rukun tetangga, ahli jawatankuasa masjid atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama berkongsi pandangan dan pendapat bagi menangani masalah jenayah dalam komuniti setempat. Organisasi-organisasi yang lebih besar ini akan mencapai suatu kesepakatan dalam norma, kepercayaan dan nilai yang mereka pegang sesuai dengan peredaran masa dan ada juga yang berpecah menjadi organisasi yang lebih kecil supaya boleh berkompromi. Beberapa teori alternatif mengenai bagaimana kompromi ini terbentuk iaitu keputusan autokratik (kuasa mutlak), penyesuaian birokratik (amalan pengurusan yang asalnya autokratik) dan penubuhan kesatuan campuran atau pilihan kolektif.
3.4 PROSES POLITIK
Proses politik adalah di mana norma, kepercayaan dan nilai yang dipegang oleh organisasi, kumpulan dan individu yang diwartakan menjadi undang-undang boleh dilihat sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah. Ini kerana organisasi, kumpulan dan individu secara jelas mempunyai pendapat yag berbeza mengenai norma iaitu apa yag harus dilakukan dan kepercayaan iaitu apa yang harus dicapai pada masa hadapan. Perbezaan pendapat perlu disesuaikan menjadi peraturan yang konsisten dan universal supaya berkesan. Justeru, terdapat teori-teori alternatif yang boleh digunakan untuk membuat penyesuaian terhadap perbezaan-perbezaan iaitu Kepimpinan ketua kerajaan, Kompromi institusi, Rundingan badan perundingan dan Desakan para pengundi. Wakil rakyat yang terpilih diberi tanggungjawab formal untuk menggubal undang-undang dalam sesuatu sistem perwakilan. Walau bagaimanapun, isu-isu yang timbul adalah berbeza mengikut kawasan dalam negara, segmen penduduk dan sektor ekonomi. Oleh itu, gabungan perlu dibentuk untuk meluluskan kebanyakkan undang-undang. Orang awam boleh secara langsung mengutarakan pandangan mereka terhadap undang-undang yang dicadangkan dengan mengundi sesetengah pegawai pentadbir dan kesemua ahli penggubal undang-undang. Pendapat mereka boleh juga disampaikan secara tidak langsung melalui kaji selidik awam, surat dan media. Sebagai contoh, menteri membawa usul ke parlimen untuk mencadangkan sesuatu undang-undang. Oleh itu orang awam boleh menyatakan pandangan serta pendapat mereka terhadap undang-undang yang dicadangkan melalui kaji selidik awam (google form) dan media sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya.
4.0 PENILAIAN MENGENAI PROSES PEMBENTUKAN UNDANG-UNDANG ALAM
SEKITAR
Undang-undang Malaysia adalah berteraskan sistem perundangan common law atau undang-undang am. Ia wujud semasa penjajahan Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara oleh Britain sejak awal 1800-an hingga 1960-an. Undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan Malaysia yang menggariskan rangka perundangan dan hak-hak warganegara Malaysia manakala Undang-undang persekutuan pula digubal oleh Parlimen Malaysia yang berkaitan dengan seluruh negara.
Sejarah penubuhan Akta Alam Sekitar terhasil daripada peningkatan tahap kesedaran dan keperihatinan masyarakat terhadap isu pemuliharaan alam sekitar sejak awal dekad tujuh puluhan yang lalu dan juga kesan globalisasi daripada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai manusia dan alam sekitar di Stockholm pada tahun 1972. Ia merupakan intisari penting bermulanya penubuhan sebuah agensi yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal alam sekitar di Malaysia.
Proses individu dalam pembentukan undang-undang adalah setiap individu mempunyai set norma, kepercayaan dan nilai masing-masing yang sama. Norma adalah kelakuan seseorang itu untuk bertindak. Sebagaimana pada 70 tahun dahulu, undang-undang alam sekitar masih belum digubal. Masyarakat ketika itu menjalani norma kehidupan mereka dengan melakukan kerja-kerja pertanian. Ketika dahulu, adalah menjadi kebiasaan petani melakukan penebangan pokok dan pembakaran untuk membina tapak pertanian kerana tiada undang-undang yang boleh menghalang kelakuan mereka ketika itu. Namun, undang-undang adalah bersifat dinamik kerana peraturan yang termaktub di dalamnya berubah-ubah mengikut peredaran masa. Aktiviti pembakaran dan penebangan hutan yang dianggap tidak melanggari undang-undang pada 70 tahun yang lalu, akan dikenakan tindakan undang-undang pada masa kini kerana aktiviti seumpama itu akan menyebabkan pencemaran dan melanggari undang-undang. Sehubungan itu, pihak kerajaan telah meluluskan Akta Alam Sekitar Sekeliling sebagai satu undang-undang pada 14 Mac 1974 dan mula dikuatkuasakan pada 15 April 1975. Kepercayaan berbeza daripada norma. Seseorang yang percaya bahawa melakukan pembakaran secara terbuka atau membuang sisa sampah ke dalam sungai adalah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang dan menjangka setiap individu dalam masyarakat sekitar juga akan berfikiran sama sepertinya. Namun, Nilai adalah satu peringkat keutamaan yang diberikan oleh seseorang terhadap norma dan kepercayaan. Seperti masalah pencemaran sungai, ada sesetengah individu menilai bahawa kerja-kerja pembersihan sungai adalah tugas pihak berkuasa dan bersikap tidak ambil peduli serta menyerahkan tugas memelihara dan memulihara sungai adalah tugas pihak berkuasa semata-mata. Ada juga nilai sesetengah individu yang optimistik untuk melakukan pemuliharaan alam sekitar secara sukarelawan dan mengajak individu lain untuk turut serta menjaga kebersihan alam sekitar. Akibatnya, penduduk terpaksa menjalani kehidupan dengan norma, kepercayaan dan nilai yang berbeza-beza antara individu. Perbezaan inilah yang boleh membawa kepada pelbagai konflik dan pertikaian. Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, Seksyen 25 (3) Sekatan Mengenai Pencemaran Perairan Daratan menjelaskan, seseorang yang melanggar seksyen-kecil (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun.
Proses kumpulan bagi setiap masyarakat mempunyai enam faktor saling berhubung kait iaitu ajaran agama, tradisi budaya, keadaan ekonomi, pembangunan teknologi, organisasi sosial dan proses-proses politik. Setiap konteks adalah saling berkait rapat dalam pemilihan norma, kepercayaan dan nilai individu. Sebagai contoh empat faktor dalam konteks di atas, perubahan teknologi dalam pertanian dan perindustrian seperti mesin dan sebagainya telah membawa perubahan dalam kuasa politik. Perubahan politik pula yang menjalinkan usahasama dengan negara luar untuk meningkatkan ekonomi negara menyebabkan perubahan ekonomi ke atas corak perbelanjaan dan percukaian berlaku seperti kenaikan harga barang dan cukai yang ditinggi. Akhirnya, perubahan-perubahan ini menghasilkan perubahan budaya dari segi perubahan gaya hidup dimana corak gaya hidup masyarakat kini yang sibuk bekerja memilih untuk membeli makanan secara dalam talian meningkatkan lagi penggunaan plastik dan tin. Peningkatan penggunaan plastik makanan seperti pembungkus makanan, penyedut minuman dan penggunaan tin minuman akan menyebabkan meningkatnya pembuangan sisa sampah ke dalam sungai, longkang dan kawasan awam.
Dalam proses sosial, apabila seseorang individu itu memiliki norma, kepercayaan dan nilai yang sama untuk memelihara dan memulihara alam sekitar, maka seseorang indvidu itu akan cenderung berkumpul dalam kumpulan-kumpulan kecil untuk berkongsi pendapat serta pandangannya dengan individu-individu dalam kumpulan terbabit yang memiliki pendapat serta pandangan yang sama. Antara kumpulan kecil terbabit adalah seperti angkatan belia, sukarelawan dan sebagainya. Kumpulan kecil ini juga merupakan sebahagian daripada organisasi besar seperti Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS) yang merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 05 Ogos 2011 berperanan untuk memberikan khidmat didalam memelihara alam sekitar di laut dan di daratan bumi serta di ruangan udara. Organisasi besar Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan mencapai suatu kesepakatan dalam norma, kepercayaan dan nilai yang mereka pegang sesuai dengan peredaran masa dan ada juga yang berpecah menjadi organisasi yang lebih kecil supaya boleh berkompromi.
Bagi proses politik pula, undang-undang di Malaysia memberi peruntukan yang jelas dan menyeluruh berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Undang-undang yang dicadangkan akan dibincangkan ke peringkat Parlimen iaitu badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara. Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Semua peruntukan berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dikanunkan ke dalam undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pada peringkat awal pelaksanaan dan pentadbiran Akta Alam Sekitar telah dijalankan oleh bahagian Perancang Am, Jabatan Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, disebabkan pelbagai kuasa yang luas di bawah Akta berkenaan, maka Bahagian Alam Sekitar telah ditubuhkan pada 15 September 1975 di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar untuk melaksanakan akta tersebut selain menguruskan hal ehwal alam sekitar. Kini, pada April 2006 Pejabat Jabatan Alam Sekitar telah dipindahkan di bawah Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar. Justeru, setiap salah laku yang melanggari undang-undang alam sekitar akan dibawa ke penghakiman dan dibicarakan oleh pakar pengamal undang-undang. Segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan undang-undang yang telah dibahaskan oleh perwakilan dan telah diluluskan, diterbitkan, diterima dan telah dikuatkuasakan.
5.0 ringkasan
Secara ringkasnya, undang-undang merupakan set peraturan universal yang konsisten ditubuhkan untuk mengawal kelakuan dalam masyarakat. Peraturan ini diterbitkan dengan meluas, umumnya diterima dan kebiasaannya dikuatkuasakan dengan lima ciri yang terdapat dalam undang-undang iaitu, Konsisten, universal, diterbitkan, diterima dan dikuatkuasakan. Sekiranya tidak ada lima ciri ini dalam sesuatu undang-undang maka ia tidak boleh diwartakan dan dikuatkuasakan. Hubungan undang-undang dengan standard moral amat penting kerana masyarakat yang dikelilingi dengan masyarakat yang mempunyai standard moral yang tinggi akan membentuk keluarga, organisasi dan masyarakat yang progresif, sejahtera dan harmonis. Segala bentuk hukuman dan undang-undang yang dibuat adalah bertujuan untuk menyusun atur, mengawal dan menyeimbangkan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh masyarakat.
Justeru, undang-undang harus digubal bagi menangani masalah salah laku setiap individu. Pembentukan undang-undang harus melalui empat proses iaitu proses individu, proses kumpulan, proses sosial seterusnya proses politik bagi mengubal sesuatu undang-undang. Seandainya semua orang memainkan peranan dan bertindak dengan tingkah laku kehidupan yang normal maka tidak akan ada keperluan untuk tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka. Tetapi demi untuk menjaga kebersihan serta kesedaran kepada kepentingan menjaga alam sekitar demi kesejahteraan hidup semua masyarakat maka undang-undang harus digubal untuk mengatasi masalah pencemaran dan mengawal tingkah laku seseorang individu yang tidak mematuhi undang-undang. Dapat disimpulkan bahawa pengubalan undang-undang bukanlah bertujuan untuk melindungi individu kelompok tertentu sahaja sebaliknya adalah untuk mewujudkan kestabilan serta keamanan dalam negara dan yang paling penting adalah melindungi hak asasi manusia.