BAHAGIAN 1
1.0 Pengenalan Gelagat Organisasi dan Perbezaan Individu dalam organisasi
Gelagat
organisasi merupakan tingkah laku individu dan kumpulan dalam sesebuah
organisasi. Kajian terhadap gelagat organisasi menekankan hubungan psikososial
interpersonal dan gelagat dinamik dalam sesebuah organisasi. Kajian ini turut
melihat pemboleh ubah lain yang boleh mempengaruhi gelagat individu di tempat
kerja termasuklah pekerjaan, reka bentuk kerja, komunikasi, dan struktur dan
reka bentuk organisasi. Menurut pakar psikologi Robbins (2008), Gelagat Organisasi adalah
“Satu bidang kajian mengenai kesan individu, kumpulan dan struktur terhadap
gelagat manusia di dalam organisasi dan penggunaan pemahaman ini ke arah
meningkatkan kecekapan sesebuah organisasi”. Ini menerangkan bahawa gelagat
organisasi adalah sebagai kajian tentang bagaimana tingkah laku seseorang
individu dalam organisasi dan kesan reaksi individu tersebut terhadap prestasi
keseluruhan organisasi. Memahami gelagat organisasi dalam organisasi
membolehkan pengurus mengenal pasti masalah, mendapatkan keyakinan pekerja
apabila mengambil tindakan pembetulan dan memastikan bahawa semua perubahan
yang dibuat mencapai matlamat.
Individu
merupakan komponen utama dalam kajian gelagat organisasi. Setiap individu yang
dilahirkan memiliki sifat, sikap, gaya dan personaliti tersendiri yang berbeza.
Perbezaan ciri-ciri peribadi seseorang individu seperti umur, jantina, status
perkahwinan dan tempoh perkhidmatan merupakan sebahagian daripada banyak faktor
yang membezakan seseorang pekerja dengan pegawai atasannya dalam organisasi.
Begitu juga dengan jawatan yang ditawarkan, tugas serta tanggungjawab yang
diamanahkan juga berbeza. Contohnya,
seorang kerani tidak mampu mengalas tanggungjawab bagi seorang pengurus besar
dalam syarikat. Terdapat beberapa pra-konsep korelasi antara umur dengan
prestasi kerja. Prestasi kerja seseorang mula menurun dengan peningkatan umur.
Walaupun kepercayaan ini dianggap tidak berapa penting, hakikatnya ramai orang
percaya bahawa prestasi seseorang ditempat kerja semakin berkurangan apabila
seseorang tersebut meningkat dewasa. Pekerja pertengahan umur dikatakan sering
mengelak atau enggan mencuba sesuatu perkara baru terutama melibatkan
teknologi. Disebabkan itu, kebanyakan pengurus akan menyasarkan pekerja
pertengahan umur semasa pengecilan organisasi. Kajian turut mendapati pekerja
pertengahan umur kurang berkemungkinan untuk meninggalkan kerja. Ini kerana,
peningkatan umur mengurangkan peluang individu terbabit diambil bekerja dimana
kebanyakan organisasi lebih gemar merekrut pekerja muda yang dipercayai lebih
kreatif dan lebih bermotivasi. Secara amnya, pekerja yang lebih tua menyumbangkan
lebih liabiliti berbanding aset kepada sesebuah organisasi. Pekerja matang
sebenarnya aset kepada syarikat kerana pengalaman kerja mereka yang lebih luas,
kebolehan membuat keputusan dan etika serta komitmen kerja yang lebih baik.
Perbezaan individu dari segi jantina turut dipersoalkan sama ada sumbangan
pekerja wanita kepada syarikat adalah setara seperti pekerja lelaki kerana
banyak kajian menunjukkan wanita lebih bersedia untuk menerima arahan manakala
lelaki dianggap sebagai agresif dan didorong kejayaan. Perbezaan ini tidak
penting kerana tiada perbezaan yang konsisten antara kebolehan lelaki dan
wanita dalam aspek penyelesaian masalah, kemahiran analitikal atau pembuatan
keputusan.
Status
perkahwinan seseorang pekerja juga tidak menunjukkan sebarang perbezaan ketara
dalam tahap produktiviti seorang pekerja yang sudah berkahwin dan yang belum
berkahwin. Mungkin dikatakan pekerja yang sudah berkahwin kerap mengambil cuti
untuk menjaga anaknya yang sakit tetapi pekerja yang belum berkahwin juga ada yang
mengambil cuti untuk menjaga ibu bapa mereka yang sakit. Disini didapati bahawa
status perkahwinan seseorang pekerja itu tidak mempunyai hubungan yang
signifikan dengan prestasi kerja seseorang pekerja. Selain itu, perbezaan
individu dalam tempoh perkhidmatan menunjukkan bahawa kakitangan yang
berkhidmat lama akan mempunyai pengalaman kerja yang lebih banyak. Kajian
membuktikan bahawa kolerasi tempoh perkhidmatan dengan produktiviti adalah
positif. Kadar pusing ganti pekerja yang lama berkhidmat dalam organisasi juga
rendah. Ini bermaksud tempoh perkhidmatan mempunyai korelasi yang negatif
dengan kadar pusing ganti pekerja. Dengan ini, pemahaman mengenai gelagat
organisasi dan perbezaan-perbezaan individu dalam organisasi telah
dikenalpasti. Oleh itu, objektif tugasan ini adalah untuk menyesuaikan teori
dan gelagat organisasi dalam persekitaran organisasi sebenar.
2.0
PERSONALITI
2.1
Definisi Personaliti
Personaliti
boleh ditakrifkan sebagai himpunan pola emosi, pemikiran dan perlakuan yang
unik untuk seseorang dan tekal dengan masa . Personaliti berhubung kait dengan
tindak tanduk seseorang yang ingin menzahirkan ciri-ciri kawalan emosi dan
pemikiran. Personaliti memainkan peranan penting seseorang daripada sudut
pandangan luaran memainkan karektor diri, Wikipedia bebas (2022).
Menurut
ahli psikologi Robbins (2008), personaliti adalah cara seseorang individu
berinteraksi dan memberi respons kepada persekitarannya. Manakala Nelson dan
Quick (2008) pula mendefinisikan personaliti sebagai gabungan sifat stabil yang
mempengaruhi cara seseorang individu berkelakuan. Melalui kedua-dua definisi
daripada ahli-ahli psikologi ini, personaliti dikatakan tetap kekal sepanjang
masa dan dalam situasi yang berlainan. Koleksi sifat merujuk kepada sifat
kumulatif individu yang menggambarkan keseluruhan dirinya.
2.2 Hubungan Peristiwa
Dalam suasana kerja di sebuah
pejabat, pastinya tempat kerja dipenuhi dengan pelbagai jenis personaliti dan
ragam. Dalam sebuah organisasi pastinya ada sesetengah pekerja yang memiliki
saudara kandung yang bekerja dalam organisasi yang sama tetapi bekerja di
jabatan yang berbeza. Contohnya,
individu yang memiliki pertalian kekeluargaan yang bekerja dibawah satu
organisasi sering menjadi perbandingan kerana walaupun memiliki genetik yang
sama tetapi sikap, bentuk fizikal, kecerdasan, kemahiran dan perwatakan mereka
berbeza. Menurut Roe (dlm. Sidek Mohd Noah, 2002, Osipow, 1973), faktor latar
belakang genetik mempengaruhi minat, kecerdasan, sikap dan personaliti individu
yang akhirnya akan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang. Selain itu, ia
turut mempengaruhi sifat fizikal individu seperti ketinggian, kecantikan dan
kecacatan individu. Individu yang rabun warna sudah tentu tidak sesuai untuk
menjadi ahli kimia.
Persekitaran kerja melibatkan
proses, sistem, struktur atau keadaan di tempat kerja yang memberi impak yang
baik kepada produktiviti tenaga kerja. Persekitaran kerja merangkumi
dasar-dasar, peraturan, budaya, sumber, hubungan kerja, lokasi tempat bertugas
dan faktor dalaman dan luaran persekitaran kerja yang mempengaruhi cara pekerja
itu menjalankan tugas masing-masing. Kepentingan persekitaran kerja merupakan
penentu kepada produktiviti tenaga kerja dan membantu pekerja menumpukan
perhatian kepada tugas masing-masing dengan betul. Ini kerana kebanyakan
pekerja yang berkhidmat di organisasi menghabiskan banyak masa berada di dalam
pejabat di mana persekitaran kerja fizikal akan mempengaruhi kesejahteraan,
prestasi pekerja dan produktiviti.
Contohnya,
reka
bentuk pejabat yang selesa dan selamat, sokongan penyelia, hubungan baik dengan
pekerja, latihan dan pembangunan, insentif dan pelan pengiktirafan serta beban
kerja yang mencukupi mempengaruhi faktor persekitaran kerja yang akan membawa
kepada peningkatan produktiviti organisasi.
2.3
Faktor-Faktor Penentuan Personaliti
Terdapat
dua faktor yang akan mempengaruhi personaliti seseorang individu iaitu faktor
keturunan dan faktor persekitaran. Faktor keturunan merujuk kepada faktor
genetik. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa personaliti seseorang dibentuk
oleh faktor keturunan. Kajian mendapati dua puluh hingga enam puluh peratus
perangai kita ditentukan oleh genetik. Kajian juga mendapati bahawa gen primer
tertentu terlibat dalam komunikasi sel dalam otak yang secara langsung mempengaruhi
personaliti dan tingkah laku seseorang. Memiliki gen tertentu boleh memberi
kesan ketara terhadap pergaulan, kecenderungan kepada kebimbangan atau
kemurungan, kawalan diri dan banyak lagi. Kajian yang sama mencadangkan bahawa
walaupun sifat keperibadian seseorang mungkin berubah apabila seseorang
meningkat menjadi dewasa berkat pengalaman dan peristiwa hidup, perangai teras
seseorang itu secara amnya tetap sama. Ini menunjukkan bahawa pada perangai
teras seseorang individu itu terdiri daripada ciri-ciri tertentu yang mempunyai
komponen genetik. Sebagaimana
contoh dalam satu kajian tentang
seratus pasangan kembar seiras menunjukkan bahawa walaupun dipisahkan dari masa
muda, kembar ini masih memaparkan banyak persamaan dalam personaliti mereka.
Secara umumnya genetik ibu bapa akan mempengaruhi personaliti anak-anak mereka
terutamanya dari segi bentuk badan, keadaan fizikal, kecerdasan dan emosi
anaknya.
Faktor
kedua adalah persekitaran yang merujuk kepada budaya, didikan, norman keluarga,
rakan-rakan, kumpulan sosial dan pengalaman lepas. Budaya ditakrifkan sebagai
nilai bersama, kepercayaan adat, tradisi, dan norma sosial sesuatu kumpulan. Ia
mungkin salah satu pemacu paling berkuasa dalam perbezaan individu dan dimensi
personaliti. Contohnya, seseorang
yang dibesarkan dalam budaya individualistik mungkin menghargai kemerdekaan
atau kejayaan peribadi. Sebaliknya, seseorang yang dibesarkan dalam budaya yang
lebih kolektivis mungkin menghargai keharmonian sosial dan keperluan kumpulan
berbanding mereka sendiri.
Rakan-rakan,
kumpulan sosial dan pengalaman lepas turut memberi kesan kepada tingkah laku
manusia. Bergantung pada persekitaran seseorang itu berada, mereka terdedah
kepada pengalaman, kesusahan, budaya dan banyak lagi yang berbeza. Contohnya, pekerja yang lama bekerja di
luar negara memiliki rakan-rakan, bahasa komunikasi, budaya dan pemahaman yang
berbeza dan hal ini mempengaruhi personaliti mereka apabila kembali bekerja ke
tanah air. Misalnya mereka akan terbawa-bawa cara kerja lama kerana telah
terbiasa mengikut budaya kerja di negara asing.
3.0 SIFAT
PERSONALITI
3.1 Definisi
Sifat Personaliti
Sifat personaliti adalah merujuk
kepada komponen asas personaliti seseorang individu itu. Terdapat beratus sifat
personaliti manusia yang digunakan untuk menggambarkan personaliti seseorang
individu. Menurut Roger (1951) personaliti merupakan sifat atau ciri-ciri yang
dimiliki oleh seseorang individu seperti cara berfikir dan beremosi yang
membolehkan dirinya dibezakan dengan individu lain. Seterusnya Allen dan Walter
(2018) menyatakan personaliti adalah sebagai kepelbagaian watak, perangai,
akal, serta fizikal individu yang stabil serta menghasilkan daya tahan dalam
menghasilkan keunikan penyesuaian untuk sekeliling. Kajian lalu membuktikan
bahawa personaliti memberi kesan ke atas seseorang baik dari segi prestasi,
motivasi mahupun kepuasan diri kerana mereka lebih bersedia untuk mengawal
persekitarannya. Ini disokong oleh Sidek (2008)
bahawa individu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling bergantung kepada
personaliti mereka yang kemudian menentukan tindakan yang dilakukan.
Kecenderungan memiliki personaliti yang selaras dengan latar belakang kerjaya
dapat membantu seseorang mencapai kestabilan kerja.
3.1 Hubungan Peristiwa
Personaliti pekerja
adalah faktor yang sangat penting untuk memperoleh kejayaan dalam kerjayanya
dan memimpin tahap prestasi kerja yang tinggi di semua jabatan setiap
organisasi. Personaliti pekerja yang sesuai selalu membantunya untuk mencapai
matlamat organisasi. Akan tetapi terdapat beberapa peristiwa-peristiwa yang
biasanya berlaku di pejabat yang mempengaruhi sifat-sifat personaliti seseorang
pekerja itu. Dalam satu peristiwa, ada sesetengah pekerja yang suka bergaul dan
mudah didekati contohnya, apabila
menerima jemputan ke majlis-majlis anjuran syarikat, selaluya pekerja yang
ingin pergi ke majlis tersebut akan pergi sekiranya rakan baiknya pergi juga
sebaliknya ada sesetengah pekerja yang pergi sendirian walaupun tanpa kenalan
yang menemaninya. Pekerja seperti ini menjadi kegemaran majikan kerana mudah
untuk diarahkan ke mana sahaja untuk melaksanakan tugas-tugas di luar pejabat
secara sendirian.
Peristiwa lain yang
didapati ada dalam syarikat iaitu sifat personaliti seseorang individu yang
melaksanakan tugas yag diamanahkan dengan melaksanakannya dengan begitu teliti
dan bekerja keras dalam melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, teratur
dan penuh tanggungjawab serta membuat keputusan yang tidak terburu-buru.
Pekerja seperti ini adalah individu yang lebih produktif daripada rakan sekerja
yang kurang teliti. Sifat ketelitian turut membantu individu ini mengekalkan
perhubungan sosial yang sihat dan merupakan kunci untuk mencapai kesejahteraan
diri. Individu yang bersifat teliti lebih cenderung untuk mengelakkan konflik
interpersonal yang remeh-temeh dan meleraikan perselisihan faham yang timbul.
Peristiwa seterusnya
yang sering dilihat dalam organisasi adalah seseorang yang memiliki sifat
kesetujuan yang tinggi. Walaupun adakalanya kelihatan seperti pekerja ini mudah
dibuli kerana sering bersetuju untuk menerima arahan yang diberi. Selalunya
pekerja yang memiliki sifat kesetujuan cenderung bersikap belas kasihan kepada
rakan sekerja mereka dan mudah menghulurkan bantuan apabila diperlukan oleh rakan
sekerjanya tetapi adakalanya ada rakan yang mengambil kesempatan ke atas sifat
personaliti pekerja terbabit.
3.2 Faktor-Faktor Mempengaruhi Sifat
Personaliti
Antara faktor-faktor
dari peristiwa di atas, salah satu model yang digunakan untuk menerangkan
personaliti adalah Model ‘Big Five’. Dalam teori persoaliti ‘Big Five’,
personaliti dapat dibahagikan kepada lima dimensi personaliti utama iaitu
Ekstraversi, Kesetujuan, Sifat Berhati-hati, Kestabilan Emosi, dan Keterbukaan
Kepada Pengalaman. Dimensi pertama dikenali sebagai ‘Ekstraversi’ yang dikenali
sebagai sifat gemar bergaul dan merupakan dimensi personaliti yang menerangkan
faktor sosial atau hubungan seseorang individu dengan individu lain. Golongan ekstrovert digambarkan sebagai seorang
yang tegas, bercita-cita tinggi, pandai bergaul, aktif, suka bercakap,
berorientasikan orang, optimistik dan memiliki sifat penyayang.
Dimensi kedua adalah
‘Kesetujuan’ iaitu melihat tahap kesetujuan seseorang dengan individu lain.
Sesetengah orang mudah bersetuju dengan pendapat orang lain. Mereka mudah
bekerjasama, ceria, mesra, boleh dipercayai dan mudah menyesuaikan diri dengan
persekitaran masing-masing. Individu yang memiliki tahap kesetujuan yang tinggi
melakukan yang terbaik dalam satu pasukan atau apabila berurusan secara
langsung dengan pelanggan.
Dimensi ketiga
adalah sifat berhati-hati merupakan dimensi yang mengukur tahap kebergantungan
seseorang. Dimensi ini merujuk kepada individu yang bertanggungjawab,
berdisplin, boleh dipercayai, berhati-hati, teliti dan serius dalam kerja
mereka. Sebaliknya individu yang mempunyai tahap kehematan yang rendah
selalunya mengambil ringan atas tugas mereka dan tidak boleh dipercayai untuk
melakukan prestasi yang baik di tempat kerja.
Seterusnya dimensi
keempat adalah ‘Kestabilan emosi’ merujuk kepada keupayaan seseorang menghadapi
tekanan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka. Seseorang yang
memiliki kestabilan emosi adalah lebih tenang, yakin dan selamat manakala
mereka yang kekurangan kestabilan emosi sentiasa merasa bimbang, emosional,
bermusuhan, berdebar-debar dan kurang keyakinan diri.
Terakhir adalah
dimensi kelima iaitu ‘Keterbukaan kepada pengalaman’ yang merujuk kepada
keupayaan individu untuk menerima pengalaman baru atau perubahan. Individu yang
berfikiran terbuka menjadi lebih kreatif, mempunyai sifat ingin tahu,
intelektual dan lebih berseni. Manakala terdapat individu yang membosankan,
kurang kreativiti dan tidak mahu bergerak dari zon selesa mereka.
4.0 PERSEPSI
4.1 Definisi
Persepsi
Persepsi adalah satu proses
individu membuat tanggapan atau menterjemahkan perasaannya bagi memberi makna
terhadap objek, perkara atau isu. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat,
perkataan persepsi bermakna gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran
tentang sesuatu. Manusia tindak balas berdasarkan kepada interprestasi
seseorang itu kepada sesuatu peristiwa. Persepsi terhadap peristiwa yang sama
boleh berbeza bergantung kepada latar belakang, kedudukan atau perspektif
individu itu. Persepsi yang salah akan menyebabkan seseorang itu gagal
mengambil tindakan yang betul.
4.2 Hubungan
Peristiwa
Persepsi seseorang individu itu
akan mempengaruhi kelakuan individu terbabit terhadap orang lain.
Kadang-kadang, reaksi seseorang individu itu berdasarkan kepada tanggapan
individu tersebut terhadap sesuatu peristiwa. Sebagaimana peristiwa di tempat
kerja yang sering di kaitkan dengan buli. Tular di media mengenai doktor
pelatih yang dibuli oleh doktor-doktor senior sebenarnya bukanlah satu perkara
baru dalam mana-mana sektor pekerjaan sekalipun tetapi generasi sekarang lebih
mudah membesarkan perkara ini melalui platform media sosial.
Dalam hal ini, ia boleh
mendatangkan persepsi atau tanggapan yang berbeza oleh seseorang individu
dengan individu yang lain. Kebanyakan kes yang berlaku rata-rata disebabkan
oleh ketidakpuasan hati yang berlaku di antara pekerja senior terhadap pelatih
baru yang masih belum mahir. Sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk berbincang
dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara yang dianggap isu. Apa yang
penting adalah komunikasi yag baik diiringi dengan cara yang sopan dan
berhemah. Apa yang berlaku di antara pekerja senior yang rata-rata bertujuan
untuk memperbaiki kelemahan pekerja baru. Mungkin ia memberi persepsi atau tafsiran
lain oleh pekerja baru yang dianggap sebagai buli di tempat kerja kerana
keadaan ini berlaku dalam kalangan golongan dewasa yang mana ia melibatkan
maruah diri yang terasa diperkecil atau dipersenda oleh orang lain terutamanya
apabila berlaku di depan rakan sekerja lain. Dalam kalangan doktor pula,
mungkin sedikit berbeza kerana kesalahan yang kecil boleh merisikokan nyawa
pesakit dan perkara sebegini memang perlu dipandang serius.
Adalah penting bagi seseorang
individu itu mempunyai persepsi yang betul agar penilaian seseorang individu
itu terhadap kawan, rakan sekerja, orang bawahan, pihak atasan dan pekerja
tidak banyak berbeza dari realiti. Persepsi penting terutama dalam konteks
pengurus dalam sesebuah syarikat contohnya
dalam menilai prestasi pekerja, pengurus mungkin membuat kesilapan dengan
memberi kenaikan pangkat kepada seorang pekerja bawahannya yang ia fikir telah
menunjukkan prestasi yang baik dalam kerja beliau sedangkan sebenarnya ia
mungkin tidak benar.
4.3 Faktor-Faktor
Mempengaruhi Persepsi
Persepsi manusia boleh
dipengaruhi oleh tiga faktor iaitu Pengamat, Sasaran dan Situasi. Penjelasan
tentang faktor-faktor yang mempegaruhi persepsi individu antaranya adalah
pertama ‘Pengamat’ yang terdiri daripada sikap, motif, minat, pengalaman dan
jangkaan. Sikap adalah apabila
seseorang itu mengarahkan sasaran dan cuba mentafsir apa yang dilihatnya,
tafsiran akan dipengaruhi oleh sifat peribadi seseorang itu. Contoh, dalam sebuah majlis anjuran
syarikat anda mendapati seseorang memakai tudung yang sama corak dengan anda
maka anda akan lebih menyedari akan kehadiran orang tersebut berbanding orang
lain yang berada di majlis tersebut. Motif
pula, apabila satu hasrat yang tidak kesampaian mempengaruhi persepsi
seseorang. Contohnya, anda menghadiri
latihan pembangunan tanpa bersarapan, berkemungkinan anda akan membayangkan pen
yang dipegang oleh penceramah seperti sebiji kuih. Persepsi ini hanya dirasai
oleh anda seorang dan tidak dirasai oleh rakan-rakan lain yang tidak begitu
lapar seperti anda. Minat juga
mempengaruhi persepsi contohnya seorang doktor boleh mengesan masalah kesihatan
seorang pesakit tetapi seorang guru tidak boleh mengesan masalah kesihatan
seseorang pesakit. Pengalaman lalu
juga memberi kesan ke atas persepsi seseorang. Objek atau peristiwa yang belum
seseorang itu alami akan dirasai lebih mendalam berbanding yang telah dialami
pada masa lalu. Contohnya, jika
seseorang yang tidak dikenali datang ke pejabat maka kedatangan beliau di
pejabat lebih nampak ketara berbanding dengan pekerja lain yang biasa anda
temui. Begitu juga dengan jangkaan yang
boleh menjejaskan persepsi seseorang. Sebagai
contoh, anda mungkin menjangkakan bahawa seorang doktor adalah seorang yang
pakar dalam mengesan semua penyakit akan tetapi, realitinya setiap doktor
memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing seperti pakar saraf, pakar gigi,
pakar mata dan sebagainya.
Seterusnya adalah faktor
‘Sasaran’ iaitu ciri-ciri yang terdapat pada sasaran akan mempengaruhi persepsi
seseorang individu itu. Individu yang baru dan tidak dikenali, pergerakan,
bunyi, saiz, latar belakang dan jarak akan mempengaruhi persepsi seseorang.
Misalnya, seseorang itu akan lebih mudah perasan keberadaan orang yang gemuk
atau kenit berbanding dengan individu yang bersaiz serdahana. Biasanya, sukar
untuk membezakan sasaran daripada persekitaran. Persekitaran mempengaruhi
persepsi seseorang itu terhadap sasaran. Objek yang tersusun rapat antara satu
sama lain dilihat sebagai sama berbanding dengan objek yang tersusun
berjarak-jarak.
Contohnya, jika enam orang pekerja meletakkan jawatan seretak pada
masa yang sama maka pekerja lai mungkin beraggapan bahawa pekerja tersebut
meletakkan jawatan kerana tidak tahan dega ketua jabatan tersebut yang terkenal
dengan sikap tegas, teliti dan seorang yang berdisplin tetapi realitinya boleh
jadi hanya salah seorang daripad enam pekerja terbabit mempunyai masalah
displin denga ketua jabatan tersebut manakala baki lima pekerja lagi meletakkan
jawata atas sebab lain bermungkinan atas sebab menerima tawaran yang lebih baik
di tempat lain, melanjutkan pelajaran, mendapat pekerjaan baru yang berhampiran
dengan rumah atau berhenti kerana ingin menjaga orang tua. Walau bagaimanpun,
kerana keenam pekerja tersebut dilihat sebagai satu pasukan dalam jabatan yang
sama, maka orang sekeliling berpendapat bahawa mereka meletakkan jawatan kerana
mempunyai alasan yang sama iaitu tidak tahan dengan ketua jabatan tersebut.
Contoh ini menunjukkan bagaimana persepsi seseorang mungkin jauh tersasar
daripada realiti yang sebenarnya.
Berikutnya adalah faktor
‘Situasi’ dimana unsur-unsur dalam persekitaran juga boleh mempengaruhi
persepsi seseorang. Sebagai contoh, di tempat kerja kita mungkin mengenali
beberapa rakan dari jabatan lain tetapi apabila berada dalam sebuah majlis
keramaian mungkin kita tidak mudah untuk mengenali rakan tersebut kerana
disebabkan faktor pencahayaan yang malap, pakaian dan karakter yang berbeza
pada majlis itu. Dalam kes seperti ini, individu yang melihat dan sasaran
adalah individu yang sama tetapi berada dalam keadaan dan persekitaran yang
berbeza. Keadaan-keadaan seperti lokasi, pencahayaan dan haba telah
mempengaruhi perhatian kita terhadap rakan sekerja tersebut.
5.0 KESIMPULAN
Keseluruhannya,
tugasan ini memberikan gambaran keseluruhan mengenai gelagat organisasi dan
menerangkan tentang empat ciri biografi yang membezakan setiap individu dalam
organisasi berkaitan dengan umur, jantina, status perkahwinan dan tempoh
seseorang pekerja itu berkhidmat. Tugasan ini juga menerangkan secara
terperinci mengenai personaliti, sifat personaliti, persepsi, hubungan
peristiwa dan faktor-faktor daripada peristiwa terbabit secara berkait dan
menggunakan Model “Big Five” untuk menerangkan secara jelas mengenai
sifat-sifat personaliti.
Setiap individu atau
pekerja memiliki sifat personaliti yang berbeza. Perbezaan personaliti dapat
memberikan pelbagai kesan ke atas tingkah laku kerja dan persepsi seseorang di
dalam organisasi. Justeru, memahami perbezaan individu dan sifat-sifat
personaliti mereka adalah penting dalam membantu pengurus untuk memilih dan
menilai pekerja secara berkesan.
3065 patah perkataan
6.0 RUJUKAN
Ahmad Amri Zainal Adnan, (2009), Rahsia
Personaliti Unggul, terbitan PTS Millenia
Sdn. Bhd.
Dr Abdul Halim Ramli, (2008), Mengenali Beberapa Teori Pemilihan
Kerjaya, diakses dari laman web
http://abdulhalimramli.blogspot.com/2008/11/mengenali-beberapa-teori-pemilihan.html
Dr Faizuniah Pangil, Dr Fais Ahmad, Dr Ooi Yeng Keat,
Hanissah A Razak, Naslina
Zakaria, Zulkufli Aziz, Ruhana Busu, Prof Madya Dr
Husna Johari, (2014), BBGO4103 Gelagat
Organisasi,terbitan Universiti Terbuka Malaysia (OUM)
Fadillah
Ismail, Adibah Abdul Kadir, (2021), Personaliti
Big Five Dengan Prestasi Kerja Pengurusan Sumber Manusia, terbitan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Norida, A.,
Mohd Firdaus.A, Ali Hafizar M.R, Hafzan,A, (2021), Hubungan Anatara Personaliti Dan Persepsi Terhadap Tingkah Laku Kerja
Tidak Produktif Dalam Kalangan Pekerja Industri: Kajian Literatur, Jurnal
of Human Capital Development, vol 14.Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Siti Hanisah
Ismail, Nurazwa Ahmad, (2020), Hubungan
Di Antara Persekitaran Kerja Dan Produktiviti Tenaga Kerja Dalam Sektor
Pembuatan, terbitan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Wikipedia
bebas, (2022), Personaliti, diakses
dari laman web
https://ms.wikipedia.org/wiki/Ciri_personaliti_Lima_Utama